Sunday 7 June 2015

Aktiviti Sunnah Di Bulan Ramadhan.

Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam an-Nawawi dan kitab Feqh as-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq. Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.

1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata: “Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)

2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka

Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)

3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.

Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda: “Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: ‘Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)


5. Bersiwak atau menggosok gigi.

Amir bin Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)


6. Bermurah hati dan banyak menderma.

Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)
7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.

(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)

Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.


8. Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)

9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim) 

10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)

11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.

Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata: “Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)



Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.

Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, janganlah kita lupa dan meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.

Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.

sumber : IBNU MUSLIM

Thursday 30 April 2015

Adab Berguru.

                                                              
Di dalam Islam kedudukan guru adalah amat tinggi. Guru merupakan pembimbing dan penasihat umat. Jika tiada guru maka manusia akan menjadi haiwan lantaran tidak ada pengajaran dan bimbingan. Oleh kerana itu Islam sangat mengambil berat tentang guru. Sesiapa yang memuliakan guru bererti ia memuliakan Rasul, sesiapa yang memuliakan Rasul bererti memuliakan Allah dan sesiapa memuliakan Allah syurgalah tempat kediamannya. Sebaliknya jika seseorang menderhakai guru bererti ia menderhakai Rasul. Barang siapa yang menderhakai Rasul bererti ia memurkai Allah. Sesiapa yang memurkai Allah maka nerakalah tempatnya. Oleh kerana itu seorang pelajar mestilah memelihara adab-adab bersama guru. 

Adab-adabnya antara lain adalah seperti berikut:

1. Memberi salam dan sentiasa hormat kepada guru. 2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang. 3. Jika ingin bertanya minta izin terlebih dahulu. 4. Cari masa yang sesuai untuk bertanya. 5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru. 6. Hindari daripada menyinggung perasaan guru. 7. Memberi bantuan kepada guru apa yang dapat dibantu. 8. Lakukanlah apa yang paling disenangi oleh guru. 9. Bercakap dengan baik dengan guru, dengan menggunakan bahasa yang baik. 10. Tidak meninggikan suara semasa bercakap dengan guru.

Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.

Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).

Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.

Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).

Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.

Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.
Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.

Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.

Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.


Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.

Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.
Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. 

Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:

“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)


Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.

Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.






Tuesday 18 November 2014

Jaga Pandangan

Aku mohon sebelum aku teruskan…kalian sediakan Qur’an tafsir ataupun buka laman web tafsir al-Qur’an…
Dalam ayat 30 surah an-Nur, Allah telah memerintahkan lelaki untuk menyekat ataupun menghalang pandangan mereka dari melihat perkara yang haram bagi mereka…maksiat…perempuan…aurat perempuan..dan lain lain…
Perintah ini adalah satu perintah jelas yang wajib untuk ditaati oleh sekalian kaum Muslimin yang beriman pada Allah..Tuhan Yang Maha Esa…..
Begitu juga dalam ayat 31 surah yang sama di mana Allah menurunkan perintah tersebut terhadap kaum wanita muslimah… Kewajipan untuk menunduk , menyekat dan menghalang pandangan mereka daripada perkara yang haram bagi mereka…menjaga maruah dan kemaluan mereka…
Ayat 31 ini mengandungi satu lagi perintah iaitu menutup belahan dada wanita dengan kain penutup kepala mereka…
PERSOALAN SERIUS
Aku bukan mahu mengatakan bahawa aku yang benar. Ataupun aku lah yang terbaik..tetapi aku penat melihat umat Islam saling bercakaran mengenai aurat seorang wanita dan lelaki…
Yang sana berbicara aurat lelaki itu begitu begini…aurat perempuan itu begitu begini…maka mulalah mereka meletakkan hukum fatwa itu ini begitu begini..sehingga membiarkan perkara yang lebih mustahak dalam mentaati hukum Allah…
Apa yang aku nampak..kecenderungan lelaki untuk mempersoalkan aurat perempuan itu begitu begini…sedangkan bahawa mereka sedang menderhakai perintah Allah mereka tidak sedar itu…
Allah suruh kita tundukkan pandangan daripada lihat perkara yang haram… Adakah kita tunduk dan patuh?? Tak perlu jawab kalau kamu nak menipu…
Kalau kamu lelaki yang taat pada perintah Allah…kamu tidak akan memandang tubuh perempuan yang haram untuk kamu lihat…haaa…gituu…
Tetapi kalau kamu jenis yang suka bertuhankan nafsu…kamu tidak akan mentaati perintah ini… Kamu tidak akan berkata..
“Kami tunduk dan kami patuh..”
Sebaliknya kamu wahai lelaki…akan mencari satu alasan lain…iaitu… Bahagian badan perempuan yang sekian-sekian itu adalah aurat…wajib tutup…maka kamu pun berlaku zalim kepada kaum wanita… Walaupun sebenarnya kamu menyangka bahawa kamu menjunjung perintah Allah…
LARANGAN UNTUK PEREMPUAN.
Perempuan..fitrah kejadiannya adalah dari bahagian bahagian seorang lelaki…Maka sudah pasti lelaki akan mempunyai daya tarikan semula jadi terhadap perempuan…kerana mereka adalah sebahagian dari tubuh lelaki dahulunya…dari tubuh Adam A.S….
Tetapi Allah telah berfirman bahawa perempuan adalah fitnah yang terbesar bagi lelaki di akhir zaman…dan penghuni neraka yang paling ramai adalah perempuan…
Allah telah melarang perempuan untuk keluar dari rumah tanpa ditemani muhrim mereka..*lihat situasi sekarang* … Allah memerintahkan perempuan untuk menjaga pandangan mereka untuk melihat perkara yang haram bagi mereka… Allah memerintahkan perempuan untuk menjaga maruah dan kemaluan mereka dengan menutup aurat mereka… Allah juga memerintahkan perempuan untuk menutupi belahan dada mereka dengan apa yang mereka gunakan untuk menutup kepala mereka sebelum ini….ia bertujuan untuk mengelakkan syahwat lelaki yang ajnabi sekiranya terpandang bahagian tersebut…
Tutup kepala itu boleh bermaksud jilbabtudung..kerudung…selendang…telekung…atau sebagainya…kerana Allah hanya menyebut… JUYUUBIHINNA… Yang mana ramai ulama ilmu tafsir bercanggah pendapat akannya…
Yang paling wajib itulah yang wajib ditutup dan dilindungi dari pandangan mata… Kerana ia boleh mendatangkan fitnah lebih besar…apa guna kalau tutup kepala kalau perintah yang sebenar iaitu “BIKHUMUURIHINNAA..” belahan dada mereka itu tidak tertutup dengan sempurna? Apa guna??
TANGGUNGJAWAB LELAKI
Aku muak untuk melihat manusia bertekak bab-bab aurat ini kalau diri sendiri tidak bermuhasabah untuk mentaati perkara lebih utama…
Aku muak nak tengok lelaki mempersoalkan dan mengutuk perempuan muslim…sedangkan mereka sendiri tidak mahu menjaga pandangan mereka…bukankah aurat perempuan itu haram di lihat? Bukankah Allah dah larang kamu lihat perkara-perkara haram itu? Jadi kenapa kamu lihat?? Kalau kamu tak lihat…perempuan itu tak akan rasa bangga diri…kerana dia langsung tak dipandang…walau betapa seksi dan cantiknya dia…bagai kan kaca yang tak bernilai…haa..gitu…
Instead of kita mempersoalkan mengenai aurat perempuan. Apa kata kita laksanakan perintah yang diperintahkan kepada kita… Tundukkan pandangan…haa..itu kan lebih baik??
Instead of perempuan-perempuan itu bertelagah bab-bab aurat bagai..apa kata kalau kalian juga ikut apa yang diperintahkan kepada kalian…haa..gituu… dong ! selesai…tundukkan pandangan…jaga maruah…jaga kemaluan…jaga aurat…tutup belahan dada…

Kata nak masuk syurga kan??

sumber :Pendekar Berkuda

Wednesday 30 July 2014

Cara Menutup Aurat Dengan Betul.


Assalamualaikum wbt,

Salah satu syariat Islam ialah menutup aurat. Namum bagaimanakah cara menutup aurat dengan betul? Ramai muslimat yang hanya memahami bahawa dengan menutup semua bahagian tubuh sudah di kira menutup aurat tanpa mengambil kisah material pakaian dan design pakaian yang di pakai. Kami coretkan sedikit cara menutup aurat dengan betul berserta dalil. Semoga kita dapat mengamalkannya.

1. Pakaian itu mestilah menutup aurat .

Rasulullah saw bersabda ; Telah berkata Aisyah r.a ” Sesungguhnya, Asma Binti Abu Bakar menemui Nabi saw dengan memakai busana yang nipis , Maka Nabi berpaling dan bersabda ” Wahai Asma, sesungguhnya apabila wanita ini telah baligh (sudah haid) tidak boleh dilihat daripadanya kecuali ini dan ini, sambil” sambil mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangannya “.

2. Pakaian itu tidak terlalu nipis sehingga tampak bayangan tubuh badan dari luar.

“Dua orang ahli neraka yang belum pernah saya lihat adalah : kaum yang memegang pecut bagai ekor lembu digunakan untuk memukul orang (tanpa alasan), orang perempuan yang berpakaian tetapi telanjang bagaikan merayu-rayu melenggok-lenggok membesarkan cemaranya bagaikan punuk unta yang mereng. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium bau syurga, sedangkan bau syurga dapat dicium dari jarak yang sangat jauh”. (Riwayat Muslim)

3. Pakaian itu tidak ketat atau sempit, tetapi longgar atau selesa dipakai.

Ia menutup bahagian-bahagian bentuk tubuh yang menggiurkan nafsu lelaki.
Dalam sebuah riwayat dari Abdullah Bin Abi Salamah bahawa Umar Bin Khattab r.a menghadiahkan kepada seseorang dengan pakaian nipis buatan Mesir Lama, kemudian berkata, ” Jangan dipakaikan kepada isteri-isteri kamu!” lalu seseorang berkata ” Ya Amirul Mukminin aku telah memakainya untuk isteriku, kemudian memutarkan badannya tetapi tidak kelihatan auratnya. ” selanjutnya Umar berkata, ” Memanglah auratnya tidak nampak, tetapi bentuk tubuhnya nampak”

4. Warna pakaian itu suram atau gelap, seperti warna hitam atau kelabu asap atau perang sehingga tiada bernafsu lelaki melihatnya ( terutamaya pakaian seperti jilbab atau abaya).~ Tidak pakai pakaian yang terang dan menarik mata-mata yang BUKAN MAHRAM untuk melihatnya,
Menurut Ibnu Kathir didalam tafsirnya pakaian wanita-wanita pada zaman Nabi saw ketika mereka keluar rumah berwarna hitam)

5. Pakaian itu tidak sekali-kali disemerbakkan dengan bau-bauan yang harum, demikian juga tubuh badan wanita itu, kerana bau-bauan ini ada pengaruhnya atas nafsu kelamin lelaki ajnabi. Perempuan yang memakai bau-bauan ketika keluar rumah sehingga lelaki mencium baunya disifatkan oleh RAsulullah saw sebagai zaniyah yakni pelacur atau penzina. ” Wanita apabila memakai wangi-wangian, kemudian melintasi kaum lelaki maka dia itu begini dan begini iaitu pelacur”. (Riwayat Abu DAwud dan Tarmizi)

6. Pakaian itu tidak bertashabbuh dengan pakaian lelaki yakni tiada meniru-niru atau menyerupai pakaian lelaki.

Telah berkata Ibnu Abbas : ” Rasulullah saw telah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita-wanita yang menyerupai lelaki”. (Riwayat Bukhari)Pakaian itu TIDAK bertashabbuh dengan pakaian perempuan-perempuan kafir dan musyrik.

7. Pakaian itu BUKAN libasush-shuhrah, yakni pakaian untuk bermegah-megah, untuk menunjuk-nunjuk atau bergaya





Friday 20 December 2013

Hikmah Akal.


Mengharapkan kasih dariMu Ya Rabb.
Hikmah Akal

Imam al-Syafie: 

-Menuntut ilmu adalah lebih baik daripada melakukan solat sunat.
-Sesiapa yang berkehendak kepada dunia, maka hendaklah ia mencari ilmu dan sesiapa berkehendak kepada akhirat juga, hendaklah ia mencari ilmu.
-Seseorang itu tidak akan berjaya di dalam menutut ilmu melainkan ia menuntut semasa dalam kemiskinan. Sesungguhnya aku pernah meminta kertas, tetapi aku sukar untuk mendapatkannya.
-Sesiapa yang menuntut ilmu, hendaklah ia mendalaminya. Tanpa ikhlas, ilmu itu akan hilang.

Imam Syafie berkata,
Perkara yang paling mulia ada tiga:
1. Berasa kaya walaupun hartanya sedikit
2. Warak ketika sunyi (bersendirian)
3. Perkataan yang hak (benar) yang diucapkan kepada orang yang diharapkan bantuannya atau ditakutinya.

----------------------------------------------
Saidina Umar r.a berkata: "Janganlah sesekali kamu membuat andaian yang tidak baik terhadap kata-kata yang keluar dari mulut saudara kamu, sedangkan kamu mempunyai jalan untuk menjadikan kata-kata tersebut difahami secara baik".

----------------------------------------------
Imam al-Jawhari menyatakan:"Setiap orang yang cerdas adalah tabib menurut bangsa Arab". 
----------------------------------------------
"Tuntutlah ilmu tanpa melalaikan ibadat. Dan beribadatlah tanpa melalaikan tuntutan mencari ilmu".
-al-Hasan al-Basri-
----------------------------------------------
"Rosaknya agama dengan tamak dan baiknya dengan sifat warak"
-al-Hasan al-Basri-
----------------------------------------------
"Janganlah kamu berdoa dengan lisanmu tetapi hatimu berpaling."
-Syeikh Abdul Qadir al-Jailani-
----------------------------------------------
"Orang yang tahu tujuan pasti mengerahkan usaha."
-Syeikh Abdul Qadir al-Jailani-
----------------------------------------------
"Orang yang waktunya tidak manfaat tidak bermanfaat pulalah nasihatnya."
-Syeikh Abdul Qadir al-Jailani-
----------------------------------------------
"Tidaklah berguna lisan pintar tetapi hati bodoh."
-Syeikh Abdul Qadir al-Jailani-
----------------------------------------------
"Jika Allah s.w.t mengharamkan hambaNya daripada keberkatan Ilmu sudah cukup untuk membuat manusia salah dalam percakapan."
-Imam Auza'i-
----------------------------------------------
Berkata Imam Malik kepada Imam Syafie ra :
“Allah SWT telah mencampakkan ke dalam hati mu akan cahaya…maka janganlah engkau padamkannya dengan maksiat.”
----------------------------------------------
"Tanpa taqwa dan kurnia Allah, kebahagiaan itu tidak akan datang dengan sendirinya."
-Mu'amma Hamidy-
----------------------------------------------
"Sesungguhnya modal dunia ialah hawa nafsu dan keuntungannya ialah api neraka".
-Ahli Hikmah-
----------------------------------------------
"Fakir itu ialah satu cara yang boleh membawa sesorang hampir kepada Allah."
-Abu Hafis Al-Hadad-
----------------------------------------------
"Kalau anda memberi sesuatu kepada sahabatmu, bererti memberi sesuatu kepada dirimu sendiri".
-Hamka-
----------------------------------------------
"Orang yang membuangkan cinta kepada dunia akan dapat merasai cinta Allah dan mencapai cinta itu".
-Ma'ruf al-Karkil-

----------------------------------------------
Sayidina Ali k.w berkata:
Manusia ada tiga jenis, Seorang alim rabbani(yang takut kepada Allah s.w.t) dan seorang murid(pelajar) yang ingin selamat, dan selain itu rakyat jelata pengikut tiap suara seruan, condong mengikut arah angin. 

Beliau jua berkata: "Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga dirimu, sedangkan harta berkurangan jika dibelanjakan. Dan ulama itu akan tetap hidup selamanya meskipun jasadnya tidak ada, dan ajaran mereka selalu diingat dalam hati".

----------------------------------------------
"Manusia pasti mati tetapi orang yang berilmu tetap hidup".
-Sayidina Ali k.w-

----------------------------------------------
"Jika kau memerlukan nikmat dunia, cukuplah Islam sebagai nikmatmu. Jika kau memerlukan keasikan, cukuplah taat kepada Allah sebagai keasikkanmu dan jika kau memerlukan pengajaran cukuplah maut itu sebagai pengajaran bagimu".
-Sayidina Ali k.w-
----------------------------------------------
'Auf bin Abdullah rahimahullah berkata bahawa golongan ahli kebaikan berpesan antara satu sama lain dengan tiga kalimah:

1.Siapa yang beramal untuk akhirat maka Allah s.w.t akan mencukupkan urusan dunianya.
2.Siapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah s.w.t maka Allah akan memperbaiki hubungannya sesama manusia.
3.Siapa yang memperbaiki hatinya maka Allah akan memperbaiki lahirnya.

----------------------------------------------
Hamid al-'Affaf rahimahullah berkata:
"Jika Allah s.w.t mahu membinasakan seseorang, maka dihukum dengan tiga keadaan. Diberinya ilmu tanpa amal, diberinya bersahabat dengan golongan soleh tetapi tidak mengikut jejak mereka serta tidak beradap terhadap mereka dan diberi jalan untuk berbuat taat tetapi tidak ikhlas".

----------------------------------------------
Fudhail bin 'Iyad rahimahullah berkata:
 "Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya'. Beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkanmu daripada keduanya."

----------------------------------------------
-Orang yang berhati-hati akan berjaya mencapai apa yang dicita-citakannya dan orang yang selalu berusaha berbuat baik akan mendapat kemenangan. Terburu-buru adalah kemandulan dan keinginan adalah muflis.

----------------------------------------------
-Indahnya kemenangan akan menghapus getirnya kesabaran, nikmatnya kemenangan akan menghapus semua keletihan, dan kerja yang cermat akan menghapuskan rintangan yang dihadapi.
----------------------------------------------
-Kegembiraan yang berpunca daripada dunia adalah kegembiraan anak kecil. Kegembiraan yang berpunca dari pujian yang baik adalah kegembiraan orang-orang besar. Sedangkan kegembiraan yang berpunca daripada apa yang ada disisi Allah s.w.t adalah kegembiraan para wali dan orang-orang pilihan Allah s.w.t.

----------------------------------------------
-Ubahlah kerugian-kerugian itu menjadi keuntungan. Buatlah minuman yang manis daripada buah lemon. Tambahkah kedalam air musibah itu gula sepenuh tapak tangan dan sesuaikanlah diri dengan keadaan anda.-

----------------------------------------------
-Percayalah pada diri sendiri dan janganlah bergantung kepada orang lain. Anggaplah bahawa mereka menjadi tanggungan anda dan bukan anda yang menjadi tanggungan mereka dan bahawa Allah s.w.t yang bersama diri anda. Jangan tertipu dengan orang yang selalu berfoya-foya.-

----------------------------------------------
Seorang ahli hikmah berkata: "Saya sibuk mensyukuri empat perkara:
1. Allah telah menjadikan seribu macam makhluk, sedang yang mulia daripada semua itu adalah anak Adam, lalu Allah menjadikan aku daripada anak Adam.
2. Allah telah melebihkan orang lelaki daripada wanita, lalu menjadikan aku lelaki.
3. Aku mengetahui bahawa orang Islam itu sebaik-baik agama, dan yang diterima oleh Allah, lalu aku dijadikan sebagai seorang Muslim.
4. Aku mengetahui bahawa umat Muhammad itu seutama-utama umat, lalu Allah menjadikan aku daripada umat Muhammad s.a.w".

----------------------------------------------
-Kebahagiaan adalah ketika jiwa telah berjaya mencapai tingkat kesempurnaannya, kemenangan adalah ketika jiwa telah mendapat buah dari amalannya, dan nasib yang baik adalah ketika dunia yang dicarinya telah mengabdi kepadanya-

-Nikmat-nikmat itu jika disyukuri akan tetap bertahan dan jika diingkari akan lari. Dunia itu jika diperlakukan dengan huru-hara akan berlalu dan jika diperlakukan dengan bijaksana akan menipu.-

----------------------------------------------
-Sering kali kenikmatan itu akan melahirkan penyesalan, kesalahan remeh akan menghantar kepada kehinaan, kemaksiatan akan berakibatkan pada dicabutnya nikmat, dan tertawa akan berakhir dengan tangisan.

----------------------------------------------

Anjuran supaya dapat mengembangkan kemampuan kreatif ialah: 
1.Banyak membaca dan menulis
2. Banyak berbincang dan bertanya
3. Banyak melihat(mengadakan perbandingan)
4. Banyak merenung(bertafakur)

----------------------------------------------
Imam Syafie berkata:
“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.

wallahualam ...
                                                                                                                                                     sumber